
CYBERJAYA, 7 September – Kerjasama strategik antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan diperkasa bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan peningkatan pendapatan kepada masyarakat luar bandar.
- Penyelarasan PKD dan NADI penting bagi menghubungkan masyarakat luar bandar kepada kemahiran, pembiayaan, akses pasaran dan peluang ekonomi.
- Kemajuan teknologi mengubah geografi peluang; anak muda boleh bekerja dalam talian, dan usahawan luaskan pasaran tanpa bergantung lokasi.
- Kejayaan pendigitalan diukur melalui mobiliti ekonomi: pekerjaan diperoleh, jualan usahawan meningkat dan keluarga menambah pendapatan.
- Cadangan asas: kenal kekuatan lokaliti, bina ekosistem pembangunan lengkap, serta perluas kerjasama dengan sektor swasta dan institusi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penyelarasan kedua-dua platform itu penting bagi memastikan kekuatan jaringan komuniti PKD dan keupayaan digital NADI dapat dimanfaatkan secara bersama demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan masyarakat luar bandar bukan sahaja mendapat akses internet, malah dihubungkan secara langsung kepada kemahiran, pembiayaan, pasaran dan peluang ekonomi.
“Kemajuan teknologi kini telah mengubah geografi peluang apabila anak muda di desa boleh bekerja secara dalam talian dengan syarikat di bandar, manakala usahawan pula mampu meluaskan pasaran tanpa bergantung kepada lokasi.
“Perkembangan itu juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada penghijrahan ke bandar sebagai satu-satunya laluan untuk membina masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pembukaan bengkel kerjasama strategik PKD Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini di menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini.
Beliau berkata, kejayaan sebenar agenda pendigitalan perlu diukur berdasarkan peningkatan mobiliti ekonomi rakyat, ia termasuk berapa ramai anak muda memperoleh pekerjaan, usahawan meningkatkan jualan dan keluarga menambah pendapatan.
Tambah beliau, kira-kira 8.1 juta penduduk luar bandar merupakan satu kekuatan ekonomi yang perlu digerakkan secara lebih menyeluruh bagi menyumbang kepada produktiviti dan pertumbuhan negara.
Justeru, beliau mencadangkan pembangunan berasaskan tiga asas utama iaitu mengenal pasti kekuatan ekonomi setiap lokaliti, membina ekosistem pembangunan yang lengkap serta memperluas kerjasama dengan sektor swasta dan institusi berkaitan.
“latihan perlu disusuli pembiayaan dan akses pasaran, manakala kemahiran digital pula perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama PKD dan NADI perlu bergerak daripada dua platform berasingan kepada satu ekosistem komuniti yang lebih tersusun dan mudah dicapai rakyat.
Beliau turut menegaskan penyelarasan berkenaan perlu mengurangkan pertindihan, mengoptimumkan sumber sedia ada serta memperluas manfaat kepada masyarakat tanpa menambah lapisan pentadbiran.
Dalam masa sama, beliau berharap hasil bengkel berkenaan dapat diterjemahkan kepada satu model kerjasama yang jelas merangkumi penyelarasan fungsi, perkongsian sumber serta indikator kejayaan yang boleh diukur.
Usaha itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rakyat di bandar, pinggir bandar dan desa menikmati peluang yang sama dalam arus pendigitalan serta pembangunan ekonomi negara.