
KUALA LUMPUR, 7 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh Bahagian Serian, Sarawak yang sebelum ini diisytiharkan susulan keadaan jerebu.
- PMO memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara di Bahagian Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.
- Keadaan jerebu di Sarawak belum pulih sepenuhnya, beberapa kawasan khususnya Serian dan Samarahan masih pada tahap amat tidak sihat.
- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
- Penduduk dinasihatkan mengehadkan aktiviti di luar rumah serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkenan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pandangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta laporan agensi berkaitan.
Laporan berkenaan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.
“Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya apabila bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat,” menurut PMO dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Penduduk di kawasan terjejas turut dinasihatkan mengehadkan aktiviti di luar rumah serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.