
KUALA LUMPUR, 7 September – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memperketat pemeriksaan terhadap juruterbang, kru kabin dan petugas penerbangan lain susulan kes pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
- MOT tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai siasatan termasuk identiti suspek dan tangkapan.
- MOT akan memberi kerjasama penuh kepada polis termasuk akses ke kemudahan lapangan terbang dan petugas.
- Polis menahan enam lelaki tempatan disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
- Polis Indonesia merampas 15 bungkusan berisi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine bernilai sekitar RM45 juta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah berkenaan antara tindakan yang boleh diambil pihaknya ketika ini, memandangkan siasatan terhadap kes itu masih dikendalikan polis.
“MOT dan CAAM telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan pemeriksaan yang lebih menyeluruh dijalankan terhadap juruterbang, kru kabin dan sebagainya,” katanya.
Katanya, MOT juga tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai siasatan berkenaan termasuk identiti suspek dan tangkapan yang telah dibuat.
“Saya masih belum mendapat maklumat terperinci… Kita telah membaca bahawa beberapa tangkapan telah dibuat, jadi adalah lebih baik pihak polis yang membuat pengumuman lanjut mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Ketua-Ketua Pengarah Penerbangan Awam Asia Pasifik ke-61 (DGCA/61) di sini hari ini.
Loke berkata MOT akan memberikan kerjasama penuh kepada polis termasuk menyediakan akses kepada kemudahan lapangan terbang serta sebarang maklumat atau petugas yang diperlukan bagi membantu siasatan.
“Siasatan adalah di bawah pihak polis. Mereka tidak mempunyai kewajipan untuk memaklumkan kepada kami atau berbincang dengan kami mengenai perkembangan siasatan, tetapi kami akan memberikan kerjasama dengan menyediakan apa sahaja maklumat atau akses yang diperlukan, sama ada kepada kemudahan atau lapangan terbang kami, termasuk mana-mana petugas yang mereka mahu temui atau siasat,” katanya.
Pada 4 Sept lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata polis menahan enam lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan penahanan pembantu juruterbang warga Malaysia di Jakarta pada Julai lepas.
Tangkapan itu susulan maklumat yang diperoleh daripada pembantu juruterbang berusia 39 tahun berkenaan ketika disoal siasat oleh pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos.
Laporan media sebelum ini menyebut pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Polis Indonesia (POLRI) dilaporkan turut merampas 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta.
Sementara itu, mengenai lencongan penerbangan susulan abu gunung berapi di Jakarta, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata Malaysia membantu dengan menyediakan lapangan terbang alternatif bagi penerbangan yang asalnya menuju ke Jakarta.
“Bagi Malaysia, kami membantu mereka sebagai lapangan terbang alternatif. Jadi, beberapa pesawat yang menuju ke Jakarta dilencongkan ke KLIA dan kami menyokong mereka dalam hal itu,” katanya.