MOT teliti mekanisme cukai karbon sektor penerbangan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 September – Kementerian Pengangkutan (MOT) masih meneliti mekanisme pelaksanaan cukai karbon bagi sektor penerbangan negara, selaras dengan komitmen Malaysia ke arah peralihan kepada penerbangan rendah karbon.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada keputusan muktamad mengenai cukai karbon; pelaksanaan akan dibuat berperingkat dan butiran diumumkan dari semasa ke semasa.
  • Pengurangan pelepasan karbon adalah obligasi antarabangsa ICAO, namun kaedah dan tempoh bergantung pada kesediaan setiap negara.
  • Peralihan ke penerbangan rendah karbon buka peluang menarik pelaburan, membangunkan kepakaran tempatan dan menyertai rantaian nilai baharu.
  • Pelan Hala Tuju Dekarbonisasi Malaysia mensasarkan pelepasan karbon sifar bersih untuk penerbangan antarabangsa menjelang 2050.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan berhubung pengenaan cukai karbon ketika ini akan ditetapkan, termasuk pelaksanaannya secara mandatori.

“Kita masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cukai karbon. Sudah tentu, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat dan butiran lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ketua Pengarah Penerbangan Awam Asia dan Rantau Pasifik ke-61 (DGCA/61), di sini hari ini.

Menurutnya, pengurangan pelepasan karbon merupakan obligasi antarabangsa yang perlu dipenuhi semua negara anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), namun kaedah dan tempoh pelaksanaannya bergantung kepada kesediaan setiap negara.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Loke berkata peralihan kepada sektor penerbangan rendah karbon bukan sahaja memenuhi obligasi antarabangsa, malah membuka peluang kepada Malaysia untuk menarik pelaburan, membangunkan kepakaran tempatan dan meneroka rantaian nilai baharu.

“Peralihan kepada sektor penerbangan rendah karbon bukan sahaja merupakan satu kewajipan, malah turut membuka peluang untuk menarik pelaburan, membangunkan kepakaran dalam negara dan menyertai rantaian nilai baharu,” katanya.

Komitmen itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Dekarbonisasi Penerbangan Malaysia yang menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih bagi penerbangan antarabangsa menjelang 2050.

DGCA/61 yang berlangsung dari 7 hingga 11 September, anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), menjadi platform perbincangan ketua-ketua penerbangan awam dan pemimpin industri rantau Asia Pasifik mengenai keutamaan serta cabaran sektor berkenaan.

Persidangan itu turut membincangkan isu utama penerbangan termasuk keselamatan, kelestarian alam sekitar dan penggunaan teknologi baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.