
BATU PAHAT, 4 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu semua aspek berkaitan kejadian kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng, diperiksa secara menyeluruh termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah.
- Semakan turut melibatkan syarikat kawalan keselamatan untuk memastikan tanggungjawab dilaksanakan.
- Tindakan tegas akan diambil jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab tidak dilaksanakan.
- Fadhlina menerima taklimat PDRM, JPNJ, PPD dan pihak sekolah serta bertemu keluarga mangsa.
- Motif dan punca masih disiasat; KPM tidak mendahului siasatan dan akan beri kerjasama serta kaunseling.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, semakan itu turut membabitkan syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan semua tanggungjawab dilaksanakan seperti sepatutnya.
Beliau berkata, jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan, tindakan tegas akan diambil.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas berada di Yong Peng hari ini.
Datuk Seri Fadhlina berkata, beliau turut menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.
Beliau turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai rakan sekelas mangsa telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Datuk Seri Fadhlina berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis dan KPM tidak akan mendahului siasatan pihak berkuasa.
Katanya, KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM, manakala sokongan kaunseling turut diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan.
Beliau turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta menghormati proses siasatan supaya kebenaran dapat diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi.