
BATU PAHAT, 4 Oktober – Kes kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, semalam, disiasat sebagai kes bunuh selepas mangsa ditemukan berlumuran darah.
- Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan.
- Suspek lelaki ditahan kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat; direman enam hari bagi membantu siasatan.
- Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail; polis merampas telefon, pakaian dan selipar; kes mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa didapati mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 5.50 petang berhubung kes itu.
“Suspek lelaki berusia 16 tahun ditahan kira-kira jam 7 malam di sekitar Yong Peng, iaitu kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Sementara itu, suspek yang dipercayai rakan sekelas mangsa direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Datuk Ab Rahaman berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan.