
SUNGAI PETANI, 4 Oktober – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, di sini, pada Jumaat ditemukan maut.
- Jasad Mat Yusof Hashim, 77, ditemukan pada pukul 9.15 pagi kira-kira 50 hingga 100 meter dari lokasi kenderaannya.
- Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
- Mayat ditemui oleh Unit Anjing Pengesan K9 dan PPDA; JBPM menggunakan alat pengusung, tali; operasi SAR tamat pada pukul 11.00 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, jasad Mat Yusof Hashim, 77, ditemukan pada pukul 9.15 pagi kira-kira 50 hingga 100 meter dari lokasi penemuan kenderaannya.
“Mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
ACP Hanyan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang merakam video kejadian dan menghubungi polis sejurus kejadian berlaku.
Terdahulu, media melaporkan mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Kuala Ketil menuju ke Felda Teloi Timur, sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai.
Kenderaan dipandu mangsa ditemukan di dalam sungai pada pukul 3.00 pagi semalam, namun mayat mangsa gagal ditemukan sebaik kenderaan tersebut dinaikkan ke darat menggunakan kren.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah memaklumkan, mayat mangsa ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi tadi.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, mayat mangsa ditemukan oleh Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM dalam keadaan terapung pada jarak 100 meter dari Pusat Kawalan Operasi PKB Lubuk Segintah.
JBPM menggunakan alat pengusung dan tali bagi menaikkan mangsa ke darat.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.00 pagi.
Operasi SAR berkenaan melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, 14 anggota PPDA dari BBP Sungai Petani dan tiga anggota dari Unit Dron.
Turut membantu, 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani dan Kuala Pegang.