
BATU PAHAT, 7 September – Kerajaan Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) tidak menolak kemungkinan menutup sekolah sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 200 dan keadaan jerebu berisiko menjejaskan kesihatan orang awam, khususnya pelajar.
- Keputusan penutupan sekolah bergantung kepada keadaan semasa dan tahap pencemaran udara di kawasan terbabit.
- Setiap sekolah disarankan mewujudkan platform komunikasi pantas antara guru dan ibu bapa untuk makluman jerebu dan arahan.
- Sekolah laksanakan SOP, pantau pelajar bergejala seperti asma, batuk atau mata kemerahan, dan kurangkan aktiviti luar.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata langkah berkenaan bagaimanapun bergantung kepada keadaan semasa serta tahap pencemaran udara di kawasan terbabit.
Beliau turut menyarankan setiap sekolah mewujudkan platform komunikasi antara guru dan ibu bapa bagi memastikan maklumat berkaitan situasi jerebu serta sebarang arahan dapat disampaikan dengan pantas.
“Saya menyarankan pejabat pendidikan setiap sekolah mewujudkan platform komunikasi antara guru dan ibu bapa, kena ada dari sekarang.
“Maklumat kena sampai. Sekiranya esok tak perlu hantar (pelajar) kerana ada PdPR, ibu bapa boleh atur masa, sama ada ke sekolah atau ke pejabat dan sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata sekolah turut melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengurangkan risiko kesihatan dalam kalangan pelajar susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa daerah di Johor ketika ini.
Katanya, pemantauan turut dilakukan terhadap pelajar yang menunjukkan simptom tidak sihat termasuk asma, batuk atau mata kemerahan.
“Sekolah yang berada di kawasan terjejas juga disaran mengurangkan aktiviti luar ketika ini,” katanya.
Dr Muhammad Naqib berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja sempena pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Jaya, Batu Pahat, hari ini.