
SETIA ALAM, 7 September – Malaysia perlu memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan negara mampu mencipta dan menguasai teknologi sendiri.
- Penguasaan STEM penting untuk menangani keselamatan makanan, tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim dan penggunaan AI bertanggungjawab.
- Keputusan berasaskan bukti dan ilmu kukuh diperlukan bagi tindakan berkesan menghadapi cabaran negara.
- Peningkatan enrolmen STEM positif, namun sains tulen masih rendah; wujud jurang antara minat dan kesediaan mendalami bidang.
- Minat di peringkat sekolah mesti dikembangkan kepada penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan menyelesaikan masalah rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada teknologi yang dicipta pihak lain, sebaliknya perlu beralih menjadi negara yang mampu mencipta, memiliki dan menguasai teknologi.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan Perdana Menteri, di sini.
Menurut beliau, penguasaan STEM penting dalam menghadapi pelbagai cabaran serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
“Malaysia sedang berada pada satu titik penting dalam perjalanan pembangunan negara. Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi yang dicipta oleh orang lain. Kita mesti menjadi negara yang mencipta, memiliki dan menguasai teknologi.
“Cabaran yang sedang kita hadapi bukanlah sesuatu yang abstrak. Soal keterjaminan makanan, bekalan tenaga,kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim dan penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab menuntut ilmu yang kukuh serta keberanian membuat keputusan berasaskan bukti,” katanya dalam ucapan sempena Peringkat Akhir NSC 2026 Piala Pusingan Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara di sini, hari ini.
Katanya, cabaran berkenaan memerlukan penguasaan ilmu yang kukuh serta keupayaan membuat keputusan berdasarkan bukti.
“Peningkatan enrolmen murid dalam bidang STEM daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus pada 2024 merupakan perkembangan yang positif. Penyertaan dalam bidang sains tulen masih berada pada sekitar 15.8 peratus,”katanya.
Keadaan itu menunjukkan masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan murid untuk mendalami bidang berkenaan.
“Malaysia memerlukan lebih ramai bakat STEM untuk membina masa depan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan. Minat dan idea yang dicetuskan di peringkat sekolah perlu dikembangkan kepada penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat,” katanya.
Usaha itu juga penting bagi meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Sementara itu, NSC 2026 mencatatkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya dengan 18,671 pasukan membabitkan 56,013 pelajar.
Daripada jumlah itu, 246 sekolah luar bandar turut mengambil bahagian.
Sebanyak 100 pasukan kemudiannya mara ke Peringkat Negeri sebelum 16 pasukan dipilih menyertai Kem Sains.
Lima sekolah yang berjaya mara ke peringkat akhir NSC 2026 ialah SMK Tapu, Terengganu; SMK Desa Petaling, W.P. Kuala Lumpur; Sabah Tshung Tsin Secondary School; SMK Tsung Wah, Perak dan SMK Agama Jerlun, Kedah.