Penjualan dadah dalam talian: MCMC diarah ambil tindakan tegas

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil/Foto Bernama

CYBERJAYA, 7 September – Penyalahgunaan platform e-dagang dan pasaran dalam talian bagi tujuan penjualan dadah semakin membimbangkan, terutama apabila kegiatan itu berpotensi menular ke kawasan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap platform didakwa terlibat penjualan bahan terlarang termasuk fentanyl.
  • Penyalahgunaan platform e-dagang untuk jualan dadah membimbangkan dan berisiko menular ke kawasan luar bandar serta meningkatkan ancaman penipuan dalam talian.
  • Keselamatan digital dan literasi perlu diperkasa, khususnya dalam kalangan belia, melalui inisiatif NADI dan Pusat Komuniti Desa.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara cabaran yang perlu diberi perhatian seiring usaha kerajaan memperluas akses internet dan kemahiran digital kepada masyarakat.

Menurut beliau, penyediaan rangkaian komunikasi yang baik perlu disertai tahap keselamatan dalam talian yang tinggi bagi memastikan kemudahan digital tidak disalahgunakan untuk kegiatan jenayah.

Beliau berkata, kebimbangan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri yang menyampaikan mesej berhubung gejala berkenaan kepadanya baru-baru ini.

” Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform berkenaan.

“MCMC dijadual mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dipercayai terbabit dalam penjualan bahan terlarang termasuk fentanyl atau ‘piu-piu’,” katanya selepas sesi pembukaan bengkel kerjasama strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini di menara MCMC di sini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata aspek keselamatan digital perlu diperkasa secara menyeluruh, khususnya dalam kalangan golongan muda yang semakin aktif menggunakan platform dalam talian.

Selain penjualan dadah, pengguna turut berdepan pelbagai ancaman lain termasuk penipuan dalam talian.

Beliau berkata, usaha memperkukuh literasi digital perlu bergerak seiring agenda kerajaan memperluas akses teknologi melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD).

“Kemudahan internet yang disediakan kerajaan bukan sekadar merapatkan jurang digital, tetapi perlu dimanfaatkan untuk membina masyarakat yang lebih celik teknologi serta mampu melindungi diri daripada ancaman di alam siber,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.