
IPOH, 16 Mei – Kerajaan sedang meneliti cadangan penggubalan Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai langkah memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional negara.
- Cadangan Akta dan penubuhan Suruhanjaya belum dibentangkan kepada Kabinet; pelbagai sesi libat urus sedang dijalankan melibatkan 12 kementerian di bawah MTVET.
- Sesi libat urus di peringkat negeri akan diadakan untuk mendapatkan maklum balas menyeluruh bagi merangka kaedah terbaik pelaksanaan Akta dan Suruhanjaya.
- Pelaksanaan Akta TVET dan penubuhan Suruhanjaya diharapkan memacu pembangunan modal insan mahir tinggi serta meningkatkan daya saing negara jangka panjang.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, cadangan penubuhan suruhanjaya TVET itu dijangka memperluas bidang kuasa dan memperkukuh penyelarasan dasar TVET di peringkat nasional, selaras dengan keperluan pembangunan tenaga kerja mahir negara.
“Cadangan Akta dan penubuhan suruhanjaya berkenaan masih belum dibentangkan kepada Kabinet untuk keputusan dasar, namun pelbagai sesi libat urus sedang dijalankan melibatkan 12 kementerian di bawah Majlis TVET Negara (MTVET).
“Kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus di peringkat negeri bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh, khususnya dalam merangka kaedah terbaik untuk memastikan Akta dan Suruhanjaya ini mampu memacu pembangunan TVET bukan sahaja menjelang 2030, malah melangkaui 2050,” katanya selepas merasmikan Jelajah AIM TVET di Bulatan
Sultan Azlan Shah Meru, di sini hari ini.
Beliau yakin pelaksanaan Akta TVET serta penubuhan Suruhanjaya TVET akan menjadi pemangkin utama dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing negara pada masa hadapan.