
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Cadangan bagi memperkukuh daya saing industri plastik negara yang berdepan peningkatan kos operasi dan tekanan rantaian bekalan global akan diteliti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi.
- Industri menghadapi tekanan kos bahan mentah, logistik, aliran tunai dan ketidaktentuan penghantaran, menjejaskan kontrak, pelaburan dan pengurusan tenaga kerja.
- Keputusan MTEN menekankan penelitian cadangan MPMA dengan mengambil kira rantaian industri, keseimbangan fiskal dan daya saing jangka panjang.
- Tekanan industri plastik boleh merebak kepada pembungkusan, elektrik dan elektronik, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian serta eksport pembuatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, penelitian itu membabitkan cadangan yang dikemukakan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA).
Menurut beliau, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selepas mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri, keseimbangan fiskal serta daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Maklum balas industri menunjukkan pengilang berdepan tekanan kos bahan mentah, logistik, aliran tunai dan ketidaktentuan tempoh penghantaran. Bagi sesetengah syarikat, kesannya sudah mempengaruhi kontrak perniagaan, keputusan pelaburan dan pengurusan tenaga kerja.
“Industri plastik ialah industri sokongan kepada banyak sektor. Pada 2025, nilai jualannya berjumlah RM62.69 bilion berbanding RM64.78 bilion pada 2024. Pembungkusan mewakili 45 peratus pasaran, manakala elektrik dan elektronik sebanyak 29 peratus.
“Apabila industri plastik tertekan, kesannya boleh merebak kepada pembungkusan makanan, komponen elektrik dan elektronik (E&E), automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian serta eksport pembuatan,” katanya.
Menurut Akmal Nasrullah, MPMA turut membangkitkan beberapa isu berkaitan struktur kos dan daya saing pengilang hiliran, termasuk perbezaan kos bahan mentah berbanding negara pesaing.