
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.937 bilion bagi pampasan tanah Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB).
- Pembahagian pampasan: RM1.2 bilion untuk LPB Sabah Fasa 1; RM737 juta untuk LPB Sarawak.
- Kerajaan menanggung keseluruhan kos pampasan, kerugian dan kos pentadbiran supaya pemilik tanah tidak mengalami kerugian.
- Kos projek LPB Sabah Fasa 1 meningkat kepada RM24.889 bilion berbanding anggaran awal RM12.86 bilion pada 2015.
- Peningkatan kos disebabkan penamatan model PDP, peralihan kepada kontraktor konvensional, inflasi, kenaikan harga bahan, kos jentera dan buruh.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata RM1.2 bilion daripadanya untuk projek LPB Sabah Fasa 1, manakala baki RM737 juta bagi projek LPB Sarawak.
Jelasnya, kerajaan menanggung keseluruhan kos pampasan, kerugian dan pentadbiran berkaitan pengambilan balik tanah bagi memastikan pemilik tanah tidak mengalami kerugian.
“Berhubung pengambilan balik tanah bagi projek LPB, kerajaan menanggung keseluruhan kos pampasan, kerugian dan kos pentadbiran bagi memastikan pemilik tanah tidak mengalami kerugian,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan, kos projek LPB Sabah Fasa 1 meningkat kepada RM24.889 bilion berbanding anggaran awal RM12.86 bilion pada 2015.
Peningkatan kos itu susulan pelaksanaan projek beralih kepada kaedah Kontraktor Konvensional Persekutuan selepas model Rakan Pelaksana Projek (PDP) ditamatkan pada 2019.
“Penamatan model PDP atas faktor kepentingan negara itu memerlukan penilaian semula terhadap baki kerja dan skop projek selepas lima tahun daripada tempoh penilaian asal,” katanya.
Selain faktor teknikal, peningkatan kos turut dipengaruhi inflasi serta kenaikan harga bahan binaan utama dalam industri domestik dan global, termasuk besi, bitumen dan simen, di samping kos jentera serta buruh.