Salah guna kad UNHCR ancam kedaulatan, tindakan tegas diperlukan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Penegasan kerajaan bahawa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak kebal daripada tindakan pihak berkuasa adalah selaras undang-undang sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kad UNHCR hanya mengesahkan pendaftaran pelarian, bukan visa atau permit tinggal.
  • Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967; status pelarian tidak diiktiraf dalam Akta Imigresen.
  • Wujud sindiket pemalsuan kad UNHCR dan keterlibatan dalam jenayah serta penyembunyian pendatang asing.
  • Tuntutan tindakan tegas kerajaan termasuk penguatkuasaan menyeluruh, pendaftaran biometrik, saringan dan kawalan oleh Jabatan Imigresen.

Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata kad berkenaan hanya mengesahkan seseorang telah didaftarkan sebagai pelarian.

“Ia bukan visa atau permit tinggal dan sebagainya. Dan sudah tentulah mereka tidak dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang negara.

“Malaysia bukanlah sebuah negara yang meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 ataupun Protokol 1967,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata status pelarian juga tidak diiktiraf sebagai kategori berasingan dalam Akta Imigresen.

“Ini bermakna sesiapa sahaja yang berada di Malaysia tanpa dokumen atau permit perjalanan yang sah tertakluk kepada Akta Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ikmal Hisham Md Tah menyokong penguatkuasaan secara menyeluruh tanpa mengira status individu.

“Kita mendapati wujudnya sindiket pemalsuan kad UNHCR. Pada masa sama, terdapat pihak yang bersubahat dalam kegiatan jenayah melibatkan pendatang asing, termasuk menyembunyikan mereka.

“Perbuatan ini menggugat kedaulatan negara serta menjejaskan penguatkuasaan undang-undang,” tegasnya.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli pula berpandangan langkah lebih tegas diperlukan bagi menangani penyalahgunaan kad berkenaan.

“Kerajaan harus memainkan peranan yang sangat efektif dalam memastikan kad UNHCR ini tidak disalahgunakan kerana kerajaan memiliki bidang kuasa untuk melaksanakan tindakan ke atas mereka yang menyalahgunakannya,” katanya.

Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kad UNHCR bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan imuniti daripada undang-undang Malaysia.

Beliau berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen (JIM) sedang melaksana Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang merangkumi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan dan penguatkuasaan.

Berdasarkan data UNHCR sehingga akhir Februari 2026 , Malaysia menempatkan 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar, dengan majoritinya warga Myanmar, diikuti individu daripada lebih 50 negara lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.