Strategi bekalan petroleum mampu kurangkan risiko gangguan import

Tiga strategi bekalan petroleum dilihat mampu menjamin kestabilan bekalan negara.

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Langkah kerajaan mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran domestik dan memperkukuh kontrak bekalan jangka panjang mampu mengurangkan risiko gangguan bekalan petroleum serta menjamin kestabilan bekalan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diversifikasi import ke Afrika, Rusia dan Turkiye kurangkan kebergantungan serta memperkukuh daya rundingan untuk mendapatkan harga lebih kompetitif
  • Pengoptimuman pengeluaran domestik melalui EOR, penerokaan telaga baharu dan peningkatan kapasiti penapisan mengukuhkan keselamatan tenaga
  • Kontrak bekalan satu hingga tiga tahun menjamin kuantiti stok, memudahkan perancangan bajet dan mengurangkan kesan kenaikan harga
  • Jaminan bekalan sehingga Disember beri keyakinan pelabur, sokong operasi sektor utama dan ruang untuk subsidi bersasar

Penganalisis Ekonomi Unikl Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, gabungan tiga pendekatan itu dapat meminimumkan risiko bekalan terputus sekiranya berlaku konflik atau penutupan laluan perdagangan utama.

Menurut beliau, kepelbagaian sumber import dapat memperkukuh daya rundingan negara untuk memperoleh harga lebih kompetitif.

“Kerajaan berjaya mempelbagaikan sumber import petroleum, termasuk dari Afrika, Rusia dan Turkiye, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada negara-negara Teluk atau kepada satu sumber sahaja.

“Sekiranya berlaku gangguan di Selat Hormuz, negara masih mempunyai sumber alternatif, selain ruang untuk merundingkan harga dan memperoleh diskaun yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pengoptimuman pengeluaran domestik menerusi teknologi Enhanced Oil Recovery (EOR), penerokaan telaga baharu dan peningkatan kapasiti penapisan menjadi jaminan keselamatan tenaga sekiranya bekalan import terganggu.

Katanya, langkah itu turut mengurangkan aliran keluar mata wang asing selain memperkukuh keupayaan pengeluaran petroleum domestik menerusi penggunaan teknologi yang lebih maju.

Dalam pada itu, beliau berkata kontrak bekalan bagi tempoh satu hingga tiga tahun mampu menjamin kuantiti stok, sekali gus membolehkan syarikat merancang bajet tanpa terlalu terkesan dengan kenaikan harga pasaran.

Bagaimanapun, jelasnya, tiga pendekatan berkenaan tidak menjadikan Malaysia kebal daripada kenaikan harga minyak dunia, namun mampu menukar risiko kekurangan bekalan kepada risiko harga yang lebih terkawal.

Mengulas lanjut, beliau berkata jaminan bekalan petroleum sehingga Disember seperti diumumkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam, membolehkan sektor perkilangan, pengangkutan, penerbangan, pembinaan dan perhotelan meneruskan operasi tanpa berdepan risiko kekurangan bekalan.

Tambahnya, kestabilan bekalan itu juga mampu meningkatkan keyakinan pelabur, mengurangkan risiko kejutan inflasi serta memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan subsidi bersasar dan merundingkan kontrak baharu secara lebih teratur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.