Rakyat Malaysia di Arab Saudi selamat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Rakyat Malaysia termasuk jemaah di Arab Saudi dilaporkan selamat, dengan keberadaan mereka dapat dipastikan tanpa sebarang gangguan penerbangan susulan perkembangan keselamatan di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar memantau rapat perkembangan keselamatan di Arab Saudi, khususnya di kawasan Mekah.
  • Kehidupan harian dan aktiviti ibadah terus berjalan seperti biasa meskipun terdapat amaran keselamatan setempat.
  • Rakyat Malaysia dinasihatkan mengikuti perkembangan, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendaftar melalui e-Konsular.
  • Malaysia memuji tindakan pantas pihak berkuasa Saudi; sistem pertahanan udara memintas dron Huthi berhampiran Mekah.

Menurut Kementerian Luar, pihaknya terus memantau rapat perkembangan semasa di Arab Saudi, khususnya di Mekah.

“Sehingga kini, kehidupan harian dan aktiviti ibadah terus berjalan seperti biasa meskipun terdapat beberapa amaran keselamatan setempat.

“Namun, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Arab Saudi dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia juga digesa untuk berdaftar melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my sekiranya belum mendaftar.

“Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui talian +966 12 672 7740 / +966 12 672 8019 atau e-mel mwjeddah@kln.gov.my,” menurut kenyataan tersebut.

Di samping itu, Malaysia turut memuji tindakan pantas pihak berkuasa Arab Saudi yang memastikan keamanan dan keselamatan Mekah, penduduk, pengunjung serta jemaah sentiasa terpelihara.

Menurut laporan media antarabangsa, sistem pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Huthi berhampiran Mekah pada Selasa, ketika ketegangan dengan kumpulan itu meningkat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.