
KUCHING, 17 September – Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi berlangsung dengan jaya dan lancar, walaupun penganjuran diadakan dalam bangunan susulan jerebu rentas sempadan.
- Jawatankuasa penganjuran merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Sambutan Hari Malaysia 2026.
- Ketua Setiausaha Datuk Abdul Halim Hamzah mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak.
- Penghargaan juga kepada Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah atas kerjasama penganjuran.
- Tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati diserlahkan melalui persembahan yang memaparkan kebersamaan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, pihak jawatankuasa penganjuran merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan sambutan berkenaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada rakyat Sarawak kerana bersama-sama meraikan sambutan di BCCK untuk edisi 2026,”katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat Kebangsaan di sini, malam tadi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia 2026, atas kerjasama dalam memastikan penganjuran majlis dilaksanakan dengan jayanya.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hadir pada Sambutan Hari Malaysia 2026.
Mengangkat tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini turut menyaksikan pelbagai persembahan yang menampilkan elemen kebersamaan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.