
KUCHING, 16 September – Kerajaan Persekutuan mengumumkan beberapa ikhtiar penting demi meringankan beban sara hidup rakyat serta memperkukuh hubungan strategik bersama Sabah dan Sarawak.
- Pemberian khas kepada Sarawak dengan bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion.
- Penambahbaikan BUDI Diesel dengan pemindahan kelayakan sehingga tiga kenderaan bagi pemilik berdaftar.
- Bantuan Khas pembelian tiket penerbangan sekali beri RM500 untuk pelajar baharu IPTA yang layak.
- Kerajaan MADANI menegaskan penghormatan hak Sabah dan Sarawak menerusi semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Amanat Hari Malaysia berkata antara langkah utama yang diumumkan termasuk pelaksanaan hak pemberian khas kepada Sarawak dengan bayaran interim dinaikkan kepada RM1.5 bilion setahun berbanding RM600 juta sebelum ini, berkuat kuasa tahun ini.
Selain itu, penambahbaikan ikhtiar BUDI Diesel bagi membantu golongan sasaran dengan pemilik berdaftar yang memiliki lebih dari satu kenderaan dibenarkan memindahkan kelayakan maksimum tiga kenderaan berkuat kuasa serta merta.
Di samping itu, Datuk Seri Anwar berkata pengenalan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 bagi pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak.
“Pengumuman ini sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat dan menterjemahkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai waad nasional menerusi penghormatan terhadap hak serta kepentingan kedua-dua negeri berkenaan,” jelas Datuk Seri Anwar menerusi Facebooknya.
Perkara itu diumumkan beliau ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.
Beliau menambah langkah baharu ini dijangka memberi manfaat terus kepada rakyat, di samping memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung kekal melangkah bersama dalam kerangka Persekutuan menuju kehidupan yang lebih sejahtera serta bermaruah.