
KUCHING, 16 September – Rakyat Malaysia diseru memperkukuh tekad untuk terus bergerak seiring dan sejalan atau “Segulai Sejalai” dalam bahasa Iban bagi membina negara yang lebih maju, makmur, bersatu serta dihormati di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
- Semangat kerjasama, kepercayaan dan kepelbagaian antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak menguatkan negara.
- Fokus pada memastikan Sabah dan Sarawak tidak tercicir melalui peluasan infrastruktur dan pendigitalan.
- Pelaksanaan JENDELA, menara telekomunikasi dan NADI memperluas capaian serta peluang pendidikan dan ekonomi di luar bandar.
- Kejayaan NADI Pulau Banggi memenangi WSIS 2025 menunjukkan lokasi bukan penghalang kepada kecemerlangan dan pembangunan kapasiti.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semangat itu mencerminkan kekuatan Malaysia yang dibina atas kerjasama, kepercayaan dan kepelbagaian antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Marilah kita menjadikan kemajuan Sarawak, pembangunan Sabah dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia sebagai kejayaan bersama,” katanya menerusi tayangan video ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.
Dalam aspek pembangunan, Datuk Seri Fahmi berkata usaha memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak tercicir daripada arus kemajuan terus diperkasa menerusi peluasan infrastruktur dan pendigitalan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pembinaan menara telekomunikasi serta penambahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Sebanyak 23 NADI di Sarawak yang diluluskan pada 2024 kini telah siap dan sedia digunakan.
Menurutnya pendigitalan bukan sekadar memperluas capaian Internet, malah membuka peluang dalam pendidikan, ekonomi dan keusahawanan, khususnya kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman.
Kejayaan NADI Pulau Banggi di Sabah yang dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Pembangunan Kapasiti pula membuktikan faktor lokasi bukan penghalang kepada kecemerlangan.