
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Moody’s Ratings mengekalkan penarafan penerbit mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia pada tahap ‘A3’ dengan tinjauan stabil, sekali gus mencerminkan ketahanan ekonomi negara serta kemajuan reformasi fiskal.
- Kemajuan reform fiskal, tadbir urus lebih baik dan disiplin fiskal memperkukuh profil kredit Malaysia.
- Ekonomi pelbagai, sumber asli mencukupi dan simpanan domestik kukuh menyokong prospek pertumbuhan jangka sederhana.
- Pembaharuan hasil sejak 2023 memperluas asas cukai menyokong konsolidasi fiskal meskipun beban subsidi dan perbelanjaan pembangunan.
- Kerajaan komited pada Akta 850 untuk capai sasaran fiskal melalui perluasan hasil, kecekapan perbelanjaan dan subsidi lebih bersasar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian agensi penarafan global itu membuktikan kemajuan Malaysia dalam memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan meluaskan asas hasil negara.
“Agenda reformasi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, masih panjang perjalanan sebelum hasilnya dapat dirasai sepenuhnya. Penilaian ini tidak seharusnya menjadikan kita alpa atau leka.
“Sebaliknya, ia harus memperkukuh tekad kita untuk terus mempergiat ikhtiar reformasi demi memastikan pengurusan ekonomi yang berhemah dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas serta kesejahteraan yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia perlu terus mengekalkan kestabilan domestik, kepastian dasar dan momentum reformasi bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta ketegangan geopolitik yang masih berlarutan.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), Moody’s turut menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas pada 2026 berbanding negara lain yang mempunyai penarafan setara.
Katanya, unjuran itu disokong oleh struktur ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, sumber asli yang mencukupi serta simpanan domestik yang besar.
MOF berkata, kekuatan tersebut turut disokong oleh asas pelabur domestik yang kukuh, sekali gus membantu memenuhi keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan dan mengekalkan kos pinjaman pada tahap sederhana.
“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025.
“Moody’s mengaitkan prestasi yang lebih kukuh dengan permintaan domestik yang memberangsangkan, khususnya penggunaan dan pelaburan swasta, selain sumbangan yang lebih kukuh daripada eksport elektronik.
“Walaupun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat, ketidaktentuan harga tenaga global serta permintaan luar yang lebih perlahan, Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus mencatat prestasi yang lebih baik berbanding negara berdaulat berpenarafan setara yang lain,” menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan turut mengiktiraf pembaharuan hasil yang dilaksanakan kerajaan sejak 2023 berjaya memperluas asas cukai, sekali gus menyokong usaha konsolidasi fiskal secara beransur-ansur meskipun kerajaan menanggung peningkatan perbelanjaan subsidi akibat harga tenaga global yang tinggi serta perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Selain itu, Moody’s turut mengiktiraf kekukuhan institusi eksekutif dan perundangan negara, rekod penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, syarat pembiayaan domestik yang menggalakkan serta kestabilan makroekonomi sebagai faktor yang menyokong profil kredit Malaysia.
“Tinjauan Stabil mencerminkan risiko seimbang kepada profil kredit Malaysia. Prestasi ekonomi yang lebih kukuh dan penyatuan fiskal yang lebih pantas boleh menyokong penjanaan hasil yang lebih tinggi, pengurangan hutang material dan kemampuan hutang yang lebih baik,” ujar MOF.
MOF menegaskan kerajaan MADANI komited mencapai sasaran fiskal yang digariskan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) menerusi usaha meluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memperkukuh ketelusan fiskal serta melaksanakan subsidi yang lebih bersasar bagi melindungi kebajikan rakyat.