
PUTRAJAYA, 19 Mei – Kesiapsiagaan negara, ketepatan dasar dan keberkesanan pelaksanaan menjadi tumpuan kerajaan dalam mengurus kesan krisis bekalan global terhadap rakyat dan ekonomi negara.
- Menjamin bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan asas kepada rakyat.
- Memanjangkan dan mengoptimumkan bekalan melalui pengurusan subsidi, kawalan ketirisan dan penguatkuasaan.
- Mengekang kenaikan harga serta memanfaatkan peluang baharu dalam biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, krisis itu akan terus diurus berdasarkan empat keutamaan utama.
“Kerajaan akan terus mengurus krisis ini berdasarkan empat keutamaan, iaitu pertama adalah untuk menjamin bekalan khususnya makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan. Kedua, memanjangkan dan mengoptimumkan bekalan sedia ada melalui pengurusan subsidi, kawalan ketirisan dan penguatkuasaan.
“Ketiga, mengekang kenaikan harga supaya tekanan kos tidak dipindahkan sepenuhnya kepada rakyat dan keempat memanfaatkan peluang baharu termasuk dalam biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif”, katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global di Putrajaya.
Tambahnya, kerajaan juga akan terus memperkukuh libat urus bersama industri, persatuan perniagaan, kementerian, agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan.
Langkah itu bagi memastikan setiap maklum balas dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dasar dimuktamadkan.
Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah bersidang sebanyak 10 kali sepanjang tempoh krisis bagi menilai situasi semasa dan mempercepat tindakan kerajaan.
Setakat 12 Mei lalu, sebanyak 24 kertas pembentangan merentasi 13 sektor ekonomi dibincangkan, dengan 96 keputusan diminitkan. Daripada jumlah itu, 11 keputusan selesai dilaksanakan, manakala 78 lagi masih dalam pelaksanaan.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan bukan sekadar reaktif, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan melalui pemantauan mingguan dan penyelarasan merentas kementerian.
Katanya, keutamaan kerajaan kekal kepada kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara, terutama dalam menghadapi tekanan kos sara hidup, operasi industri serta ketidaktentuan global.