KBS perkukuh tadbir urus perolehan melalui LoU bersama MyCC

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Februari– Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadi kementerian keenam yang menandatangani Surat Persefahaman (LoU) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi memperkukuh tadbir urus serta ketelusan proses perolehan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS menandatangani LoU dengan MyCC untuk memperkukuh tadbir urus dan ketelusan perolehan kementerian.
  • Inisiatif selaras dengan agenda Kerajaan MADANI menekankan tatakelola baik, telus dan berintegriti.
  • LoU merangkumi pemantauan bidaan mencurigakan, perkongsian data dan saluran pelaporan dua hala.
  • Perjanjian disertai tindakan berterusan termasuk rujukan siasatan, pendidikan, advokasi dan latihan pegawai perolehan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata inisiatif ini selaras dengan agenda Kerajaan MADANI, yang menekankan prinsip tatakelola baik, telus dan berintegriti dalam setiap proses pentadbiran.

“Kementerian Belia dan Sukan amat mengalu-alukan sebarang usaha untuk memastikan tadbir urus dan tatakelola yang baik, selaras dengan agenda Kerajaan Malaysia MADANI, supaya setiap proses berjalan secara telus.

Di bawah kementerian, jumlah perolehan yang dikendalikan agak besar, melibatkan kira-kira 50 tender dan purata 300 sebut harga terus. Dengan penandatanganan ini, KBS lebih bersedia memastikan tiada ketirisan atau salah laku berlaku, khususnya dalam projek-projek kementerian,” kata Dr. Mohammed Taufiq kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MyCC di Menara KBS, di sini.

Beliau menegaskan, pelaksanaan LoU bukan sekadar simbolik, sebaliknya akan diterjemahkan melalui tindakan berterusan dan kerjasama rapat dengan MyCC.

Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan tiga skop utama iaitu pemantauan dan pengesanan corak bidaan mencurigakan, perkongsian data serta saluran pelaporan dua hala untuk membolehkan kes yang disyaki melanggar Akta Persaingan 2010 dirujuk untuk siasatan lanjut dan pendidikan, advokasi dan latihan pegawai perolehan.

Terdahulu, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali, menyaksikan LoU ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, dan Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun.