
PUTRAJAYA, 26 FEBRUARI – Usaha memperkukuhkan ekosistem pekerja gig sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang lebih mampan, adil dan inklusif untuk pekerjanya.
- Sesi libat urus dianjur dengan penyedia platform gig seperti Grab, Foodpanda, ShopeeFood dan lain-lain.
- Perbincangan menumpu perlindungan sosial, kebajikan pekerja dan kefahaman perundangan.
- Isu pekerja gig akan dibawa ke peringkat libat urus seterusnya dengan pemegang taruh lain.
- Kerajaan komited seiringkan ekonomi gig dengan pembangunan modal insan dan keseimbangan kepentingan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata bagi tujuan itu, satu sesi libat urus bersama penyedia platform ekonomi gig seprti Grab, Foodpanda, GoGet, ShopeeFood, Lalamove, Bolt, Halo Delivery, Kiddocare dan FastGig, telah diadakan.
Beliau berkata perbincangan tersebut merangkumi aspek perlindungan sosial, kebajikan pekerja dan kefahaman perundangan kepada penyedia platform perkhidmatan.
“Setiap isu dan pandangan yang dibangkitkan dalam sesi bersama pekerja gig sebelum ini akan saya bawa ke peringkat libat urus seterusnya bersama pemegang taruh lain, termasuk wakil pekerja dan pihak berkepentingan berkaitan, bagi memastikan pendekatan yang diambil bersifat menyeluruh dan seimbang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan perkembangan ekonomi gig selari dengan agenda pembangunan modal insan negara, selain mewujudkan keseimbangan yang adil antara kepentingan pekerja dan kelangsungan perniagaan platform gig demi kemakmuran bersama.