
NEW YORK, 18 Ogos – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan dron yang menyasarkan pejabat Perdana Menteri Wilayah Kurdistan di utara Iraq, pada Isnin.
- Jurucakap PBB berkata serangan itu jelas pelanggaran kedaulatan Iraq.
- Agensi keselamatan Kurdistan lapor tiada kematian atau kecederaan; dakwa dron dilancarkan dari Iran tetapi impak tidak disahkan.
- Perdana Menteri Barzani mengutuk serangan sebagai peningkatan berbahaya dan ancaman langsung; pejabat serta kediaman ketua perisikan menjadi sasaran.
- Wilayah Kurdistan sering diserang; gelombang Julai 2025 henti hampir separuh pengeluaran minyak; serangan April 2024 di Khor Mor bunuh empat pekerja.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, serangan itu jelas pelanggaran terhadap kedaulatan Iraq.
“Kami mengutuk serangan terhadap pejabat Perdana Menteri Kurdistan,” katanya dalam taklimat media, di sini.
Terdahulu, agensi keselamatan Kurdistan memaklumkan, tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan dalam dua serangan dron itu.
Menerusi satu kenyataan, ia mendakwa serangan itu dilancarkan dari wilayah Iran, namun tidak menjelaskan sama ada dron terbabit mengenai sasaran.
Tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab, setakat ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Kurdistan, Masrour Barzani menerusi laman X mengutuk sekeras-kerasnya serangan melulu itu, sambil menyifatkannya sebagai peningkatan yang berbahaya serta ancaman langsung terhadap keselamatan dan kestabilan wilayah berkenaan.
Menurut Barzani, pejabat peribadinya dan kediaman ketua Agensi Keselamatan dan Perisikan wilayah itu turut menjadi sasaran, berdasarkan siasatan Unit Antikeganasan Kurdistan.
Wilayah Kurdistan di Iraq sebelum ini berulang kali menjadi sasaran serangan dron dan roket.
Gelombang serangan dron selama empat hari terhadap medan minyak di wilayah itu pada Julai 2025, menyebabkan hampir separuh pengeluaran minyak mentah wilayah Kurdistan terhenti.
Pada April 2024 pula, serangan dron terhadap medan gas Khor Mor, antara yang terbesar di wilayah Kurdistan mengorbankan empat pekerja dari Yaman, mencederakan dua lagi serta memaksa bekalan gas ke loji janakuasa serantau dihentikan. -REUTERS