
YANGON, 18 Ogos – Ratusan pesakit dimasukkan ke hospital akibat cirit-birit teruk di bandar terbesar Myanmar, Yangon dengan hampir 150 orang disahkan positif taun.
- Makmal Kesihatan Kebangsaan mengesahkan sembilan kes jangkitan bakteria Vibrio cholerae.
- Petugas kesihatan menjalankan pemantauan epidemiologi dan langkah kawalan wabak di kawasan terjejas.
- Konflik lebih lima tahun menekan sektor kesihatan dan infrastruktur, menjejaskan keupayaan respons wabak.
Menteri Hal Ehwal Sosial wilayah Yangon, Bo Htay berkata, seramai 500 orang telah dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit, sejak 9 Ogos lalu.
Angka tersebut merupakan pengesahan rasmi pertama bahawa bandar berkenaan dilanda wabak taun, lebih seminggu selepas pesakit mula dimasukkan ke hospital.
“Ujian pantas taun mendapati 149 kes positif, dengan sembilan daripadanya disahkan secara rasmi sebagai jangkitan bakteria ‘Vibrio cholerae’ oleh Makmal Kesihatan Kebangsaan,” katanya ketika berucap di parlimen Yangon.
Menurut beliau, lebih 100 pesakit baharu dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu, namun jumlah kes baharu dilaporkan menurun sejak itu.
Seorang pesakit berusia 92 tahun turut meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital akibat cirit-birit.
Bagaimanapun, akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar pada Ahad melaporkan, lelaki itu meninggal dunia akibat masalah kesihatan sedia ada membabitkan jantung dan paru-paru.
Akhbar itu turut memetik seorang pegawai sebagai berkata, petugas kesihatan sedang menjalankan pemantauan epidemiologi dan langkah kawalan wabak di kawasan terjejas.
Sektor kesihatan dan infrastruktur Myanmar kini berdepan tekanan selepas lebih lima tahun konflik bersenjata, yang dianggarkan mengorbankan lebih 100,000 nyawa dan menjejaskan ekonomi negara itu. -AFP