
SYDNEY, 17 Ogos – Lebih 2.6 juta penduduk Australia dijangka hidup dengan diagnosis kanser menjelang 2050, peningkatan kira-kira sejuta berbanding 2025, menurut model ramalan baharu, lapor Xinhua.
- Trend didorong pertambahan penduduk, penuaan, peningkatan kes sesetengah kanser serta kadar kelangsungan hidup lebih baik melalui pengesanan awal dan rawatan yang bertambah baik.
- Penghidap berumur 80 tahun ke atas dijangka lebih dua kali ganda, meningkatkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan dan keperluan penjagaan khas.
- Pencegahan dipertingkat, pengesanan awal, diagnosis dan laluan penjagaan yang dipertingkat boleh mengurangkan jumlah penghidap secara drastik.
Jumlah keseluruhan penghidap kanser dalam merentasi semua peringkat umur dijangka meningkat 57 peratus, daripada 1.66 juta pada 2025 kepada 2.61 juta pada 2050.
Trend ini didorong oleh pertambahan penduduk, penuaan populasi, peningkatan kes bagi sesetengah jenis kanser, serta kadar kelangsungan hidup pesakit yang lebih baik menerusi pengesanan awal melalui saringan dan pembaikan kaedah rawatan, menurut kenyataan dikeluarkan Universiti Sydney (USYD) Australia pada Isnin.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Lancet Regional Health Western Pacific, jumlah penghidap kanser berumur 80 tahun ke atas dijangka meningkat lebih dua kali ganda, daripada 480,000 pada 2025 kepada lebih sejuta pada 2050.
Kajian itu turut meramalkan kira-kira 1.15 juta orang dijangka menjalani rawatan aktif atau pemantauan rapi bagi kanser yang belum pulih pada 2050. Menjelang 2050, kanser payudara diramal menjadi kanser paling lazim di Australia, diikuti kanser prostat, melanoma, kolorektum dan buah pinggang.
“Jika kita dapat bertindak lebih awal menerusi pencegahan yang ditingkatkan, pengesanan awal, diagnosis dan laluan penjagaan, angka berkenaan boleh dikurangkan secara drastik,” kata pengarang kanan bersama Profesor Karen Canfell, yang memimpin Cancer Elimination Collaboration di USYD. -BERNAMA-XINHUA