
PUTRAJAYA, 17 Ogos – Sebanyak 6,537 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya pada 2025 dengan penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 66 peratus daripada jumlah keseluruhan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Keperluan intervensi bersasar untuk capai sasaran pengurangan kematian jalan raya 50 peratus menjelang 2030.
- Memperkukuh penyelarasan strategik antara kementerian, agensi, majikan dan masyarakat bagi kesan intervensi yang lebih tinggi.
- Pelaksanaan Program Ops Cegah bersama PERKESO, PDRM dan JPJ serta Program SAFERO berfasa untuk pemandu kenderaan berat.
- Tumpuan kepada penyuraian trafik dan integrasi pengangkutan awam menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru Singapura.
Beliau berkata angka berkenaan mengukuhkan keperluan untuk kerajaan melaksanakan intervensi lebih bersasar bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kematian nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Katanya, usaha itu akan dilaksanakan menerusi pengukuhan penyelarasan strategik antara kementerian dan agensi, selain kerjasama dengan majikan serta masyarakat.
“Pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) dan keseluruhan masyarakat (Whole-of-Society) terus diperkasa bagi mentransformasikan budaya keselamatan dan memastikan setiap intervensi memberi impak tinggi dalam menyelamatkan nyawa rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat JK-MKKJR Bil. 1/2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata antara langkah yang diperkukuh ialah Program Ops Cegah bersama PERKESO, PDRM dan JPJ, selain pelaksanaan berfasa Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO) bagi meningkatkan kompetensi pemandu kenderaan berat.
Menurutnya, langkah itu turut mengambil kira kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya yang dianggarkan mencecah RM30 bilion pada 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pelan penyuraian trafik dan integrasi pengangkutan awam menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru-Singapura.
Langkah berkenaan penting bagi memperkukuh penyelarasan sistem pengangkutan awam serta memastikan kelancaran pergerakan trafik menjelang pengoperasian laluan rentas sempadan berkenaan.