Syarikat tempatan perlu beralih kepada produk ‘Made by Malaysia’

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Syarikat tempatan perlu beralih daripada sekadar menghasilkan produk kepada membangunkan produk yang direka dan dihasilkan rakyat tempatan bagi memperkukuh jenama Malaysia di pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beralih kepada model Made by Malaysia supaya produk direka, dicipta dan dibuat oleh rakyat Malaysia, meningkatkan identiti dan daya saing.
  • Tumpuan kepada nilai, inovasi serta keselamatan, kesihatan dan kualiti dalam usaha membina jenama Malaysia yang kukuh.
  • Peruntukan SME Corp membantu 40 PMKS mendapatkan pensijilan National Mark; kementerian sedia nilai tambah peruntukan.
  • Program Power Up 10K salurkan RM9 bilion kepada 250,000 usahawan; sebahagian daripada sasaran RM15 bilion tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, peralihan daripada konsep Made in Malaysia kepada Made by Malaysia penting untuk memastikan produk tempatan mempunyai identiti, nilai dan daya saing tersendiri.

“Mungkin model dulu ialah model kita membuat produk orang lain di negara kita, made in Malaysia. Kita harus beransur-ansur beralih kepada model made by Malaysia, produk yang direka, dicipta dan dibuat oleh rakyat Malaysia,” katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan program BrandQuest 2026 dan majlis apresiasi National Mark of Malaysian Brand di ibu negara, hari ini.

Ujar beliau, usaha membina jenama Malaysia yang lebih kukuh perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu nilai, inovasi serta keselamatan, kesihatan dan kualiti.

Dalam pada itu, beliau turut berkata peruntukan kira-kira RM230,000 daripada SME Corp membantu kira-kira 40 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pensijilan National Mark of Malaysian Brand bagi tempoh 2025 dan 2026.

Jelas beliau, kementeriannya, akan menilai semula keperluan menambah peruntukan berkenaan dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih banyak syarikat meningkatkan taraf dan daya saing produk masing-masing.

Sementara itu, menerusi program Power Up 10K, sebanyak RM9 bilion pembiayaan telah disalurkan kepada 250,000 usahawan di seluruh negara sehingga Julai lalu.

Sim berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM15 bilion pembiayaan yang dirancang untuk disalurkan sepanjang tahun ini.

“Inilah misi saya, untuk memastikan terdapat sumber yang mencukupi untuk syarikat Malaysia terus bersaing dan maju. Misi hebatkan perniagaan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan anugerah Malaysian Brand Heritage kepada beberapa syarikat tempatan sebagai penghargaan terhadap usaha membina dan mengekalkan jenama Malaysia yang berkualiti serta berdaya saing.

Antara Penerima anugerah berkenaan ialah Seasonings Specialties Specialties Sdn Bhd, Passive Fire Protection Sdn Bhd, Goodnite Sdn Bhd, Halagel (M) Sdn Bhd dan Sydney Cake House Sdn Bhd.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.