
KOTA BHARU, 17 Ogos – Kadar kesuburan rakyat Malaysia mengalami penurunan secara ketara dalam tempoh 10 tahun ini sekali gus menjadi cabaran dalam mencapai status negara maju.
- LPPKN lapor kadar kesuburan kebangsaan rendah, kira-kira 1.6 anak setiap wanita.
- Penurunan berlaku lebih pantas berbanding negara ASEAN, mempercepat proses penuaan masyarakat menjelang 2036.
- Kesan ekonomi termasuk risiko kekurangan tenaga kerja dan permintaan pengguna yang menyusut.
- Faktor utama: menangguhkan perkahwinan, melanjutkan pengajian, masalah kewangan dan kos sara hidup tinggi.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata kadar kesuburan keseluruhan Malaysia secara nasional pada paras 1.6 anak bagi setiap wanita.
Situasi tersebut jelas beliau menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku ketidakcukupan bekalan dalam sektor ekonomi dan guna tenaga khususnya kepenggunaan.
“Kalau nak ditanya sama ada keadaan ini membimbangkan atau tidak, kita perlu melihat kepada kadar penurunan kesuburan yang berlaku dengan begitu pantas dalam negara kita berbanding negara-negara ASEAN lain.
“Kadar penurunan kesuburan di Malaysia lebih cepat dan kita juga semakin cepat menuju ke arah masyarakat menua. Berdasarkan unjuran, negara kita dijangka mencapai status negara menua pada 2036,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya antara faktor utama kepada penurunan kadar kesuburan adalah kecenderungan menangguhkan perkahwinan selain kebimbangan berdepan masalah rumah tangga.
“Apabila seseorang menangguhkan perkahwinan, akan menyebabkan kesuburan itu makin menurun kerana kelahiran berkurang disebabkan tempoh kesuburan bagi seorang wanita adalah antara 15 hingga 49 tahun.
“Selain itu, faktor melanjutkan pengajian, masalah kewangan serta kos sara hidup tinggi juga menyumbang kepada penangguhan perkahwinan,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 peringkat Kelantan di Institut Pengurusan Peladang, Panji di sini.
Turut hadir ialah Pengarah LPPKN Kelantan, Haslinda Hassan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh.