KKR perketat SOP keselamatan tapak pembinaan

Foto RTM

PETALING JAYA, 22 Oktober – Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa semua majikan dan pihak berkepentingan dalam industri pembinaan bagi memperketat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan, susulan kadar kemalangan maut dalam sektor itu yang masih membimbangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor pembinaan menyumbang kira-kira 27% daripada keseluruhan kes kecederaan maut berkaitan pekerjaan.
  • Pada 2023 dilaporkan 38,950 kes kecederaan pekerjaan dan 324 kematian.
  • Tapak pembinaan di bawah JKR dan CIDB merekodkan 5,379 kecederaan termasuk 88 kematian.
  • CIDB mewajibkan Pegawai Keselamatan, kursus berterusan, SOP seperti taklimat, roll call, PPE, serta pemeriksaan mengejut dan tindakan tegas.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, sektor pembinaan menyumbang kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan kes kecederaan maut berkaitan pekerjaan di negara ini.

Menurut beliau, sebanyak 38,950 kes kecederaan pekerjaan dilaporkan pada 2023, dengan 324 daripadanya melibatkan kematian.

“Daripada jumlah itu, sektor pembinaan yang berada di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merekodkan 5,379 kes kecederaan, termasuk 88 kes kematian.

“Angka ini sangat serius. Pihak berkaitan termasuk KKR mesti memastikan kadar kecederaan dan kematian ini dikurangkan dari tahun ke tahun demi menjamin tapak industri pembinaan bertambah selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MSOSH) Kali Ke-44 2026, di sini.

Hadir sama, Presiden MSOSH, Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail.

Mengulas mengenai langkah pencegahan, Datuk Seri Dr. Ahmad menjelaskan kementerian menerusi CIDB mewajibkan penempatan Pegawai Keselamatan serta penganjuran kursus keselamatan secara berterusan di tapak projek.

Selain itu, penetapan SOP wajib seperti taklimat keselamatan kepada pelawat, peringatan rutin semasa perhimpunan pagi (roll call), serta pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) seperti jaket dan topi keledar keselamatan perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Bagi memastikan pematuhan berada pada tahap optimum, CIDB akan mempertingkat pemeriksaan mengejut tanpa pemberitahuan awal di semua tapak pembinaan projek kerajaan mahupun swasta.

“Saya sendiri telah beberapa kali turun padang membuat pemeriksaan mengejut. Kita juga menempatkan pegawai pemantau di lokasi projek bagi membolehkan siasatan segera dilakukan dan tindakan tegas diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi SOP keselamatan,” tegasnya.

Majlis tahun ini menyampaikan sebanyak 227 pengiktirafan MSOSH, dengan anugerah tertinggi Platinum diraih oleh PETRONAS Carigali Sdn. Bhd.

(Sabah Oil and Gas Terminal) dan Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad (Bagan Luar Terminal) atas kecemerlangan komitmen keselamatan dan kesihatan pekerjaan mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.