
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu disusuli perbincangan mengenai hak mahasiswa.
- Perincikan hak mahasiswa: hak bersuara, hak membuat keputusan, dan hak memberi pandangan terhadap wacana intelektual di universiti.
- Peranan MPP perlu diperkukuh sebagai saluran rasmi yang mewakili suara mahasiswa dalam proses membuat keputusan.
- Libatkan mahasiswa dan MPP dalam merangka One Higher Education Act serta keputusan berkaitan keselamatan dan pembangunan kampus.
Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) 2025/2026, Nuqman Naufal Nor Azhari berkata, perkara itu perlu diberi perhatian dalam kerangka baharu pendidikan tinggi.
“Pertama ialah soal hak mahasiswa untuk bersuara, kedua hak mahasiswa untuk membuat keputusan dan ketiga hak mahasiswa memberikan pandangan terhadap wacana intelektual di universiti.
“Mahasiswa tidak seharusnya hanya menjadi penerima maklumat, sebaliknya perlu dilibatkan dalam keputusan berkaitan keselamatan dan pembangunan kampus,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, peranan MPP juga perlu diperkukuh sebagai saluran rasmi yang mewakili suara mahasiswa dalam proses membuat keputusan.
Jelasnya, pembaharuan kerangka perundangan pendidikan tinggi perlu mengambil kira pandangan mahasiswa dan MPP sebagai pemegang taruh utama.
“Penglibatan mahasiswa dan MPP juga perlu diberi perhatian dalam merangka One Higher Education Act (OHEA) seperti yang disebut dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Nasional (RPTN) 2026–2030,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memansuhkan AUKU seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Beliau menyifatkan ia sebagai langkah positif bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dengan perubahan semasa.