JTM sasar 50% lepasan SPM sertai TVET

Foto BERNAMA

LABUAN, 25 Julai – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyasarkan 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

RINGKASAN BERITA AI
  • JTM menjalinkan kerjasama dengan syarikat industri untuk memastikan silibus TVET sentiasa relevan dengan keperluan industri.
  • Kurikulum ADTEC JTM akan diperkemas selaras perkembangan teknologi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.
  • MoU ditandatangani antara ADTEC JTM Kampus Labuan, Labuan Shipyard Engineering dan Asian Supply Base bagi kerjasama latihan.

Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha berkata, sasaran itu bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang semakin berkembang.

“Sebab itu, kita menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat industri. Sebelum ini juga, kita telah bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan silibus yang dibangunkan sentiasa relevan dengan keperluan industri.

“Kita turut mendapatkan kerjasama pihak industri dalam membangunkan infrastruktur, latihan serta kandungan kursus bagi memastikan graduan kita benar-benar bersedia apabila tamat pengajian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Karnival TVET ADTEC Kampus Labuan 2026 di sini.

Dalam pada itu kurikulum latihan ADTEC JTM akan terus diperkemas agar selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan sebenar industri.

Usaha itu diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET, sekali gus menyokong agenda negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah ADTEC JTM Kampus Labuan, Imalistyahusnanjaya Mat Hussin.

Pada majlis itu, turut diadakan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan antara ADTEC JTM Kampus Labuan dan Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd serta Asian Supply Base (ASB) Sdn Bhd.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.