
TANJUNG PIANDANG, 25 Julai – Jabatan Penjara Malaysia terbuka membantu kementerian dan agensi lain menyiapkan projek komuniti menggunakan tenaga prospek mengikut kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dimiliki.
- Penglibatan prospek disesuaikan mengikut kemahiran TVET yang diperoleh sepanjang latihan di Jabatan Penjara.
- Program komuniti menyediakan manfaat kepada awam dan pengalaman kerja sebenar sebagai persediaan reintegrasi.
- Jabatan Penjara bekerjasama dengan 453 syarikat di seluruh negara untuk menawarkan peluang pekerjaan mengikut kemahiran prospek.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penglibatan prospek bergantung kepada bidang kemahiran masing-masing yang diperoleh sepanjang menjalani latihan di Jabatan Penjara.
Pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat segera kepada komuniti, malah menyediakan pengalaman kerja sebenar kepada prospek sebagai persediaan sebelum kembali menjalani kehidupan bermasyarakat.
“Sekiranya mana-mana agensi, jabatan atau kementerian melihat prospek yang kami latih dan dilengkapi dengan kemahiran TVET mampu membantu menyiapkan projek bawah seliaan mereka.
“Jabatan Penjara sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama. Kami amat mengalu-alukan peluang berkenaan dan akan menyambut baik sebarang tawaran yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Program Komuniti Korektif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Penjara Malaysia di Dewan PDT
Tanjung Piandang di sini.
Menerusi program itu, prospek berkemahiran TVET terlibat secara langsung dalam kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam antaranya jeti nelayan, masjid, surau, dan kediaman asnaf.
Dalam pada itu beliau memaklumkan ketika ini Jabatan Penjara turut bekerjasama dengan 453 syarikat di seluruh negara yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada prospek mengikut kemahiran yang dimiliki selepas mereka menjalani latihan.