JKR laksana 1,492 projek pembangunan pendidikan di seluruh negara

Datuk Seri Ahmad

SEPANG, 16 Mac – Sebanyak 1,492 projek pembangunan pendidikan di seluruh negara sedang dilaksana bawah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM37.98 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • 771 projek berada pada peringkat prabina dan 721 projek pada peringkat pasca-bina, melibatkan sektor pendidikan dan kemudahan awam.
  • 106 projek sekolah berkepadatan tinggi (RM100 juta) diserahkan 2 April, tambah bilik darjah segera; pembinaan 3 hingga 6 bulan, guna Jun hingga Ogos.
  • Projek SMK Kota Warisan capai 99% fizikal; penyerahan 21 April 2026, operasi Jun 2026; 42 bilik darjah dan kemudahan lengkap.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah tersebut, 771 projek berada pada peringkat prabina.

Manakala 721 projek telah memasuki peringkat pasca-bina, melibatkan pelbagai sektor pembangunan termasuk pendidikan dan kemudahan awam.

Sementara itu sebanyak 106 projek berkepadatan tinggi di seluruh negara bernilai RM100 juta, akan diserahkan oleh Menteri Pendidikan dan Menteri Kerja Raya pada 2 April ini.

“Ini merupakan projek ‘quick win’ bagi tahun 2026 di seluruh negara. Secara keseluruhannya, terdapat 106 projek di sekolah berkepadatan tinggi yang melibatkan penambahan bilik darjah secara segera, sama ada dua, empat atau enam bilik darjah bagi setiap sekolah.

“Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah antara tiga hingga enam bulan, dan tambahan bilik darjah tersebut dijangka boleh digunakan sekitar Jun hingga Ogos tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui media pada sesi tinjauan dan lawatan kerja ke projek pembinaan sekolah baharu SMK Kota Warisan di sini.

Menurut Datuk Seri Ahmad, ia merupakan satu pendekatan baharu yang dilaksanakan kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan pembelajaran di sekolah.

“Melalui penambahan bilik darjah berkenaan, pelajar dapat belajar dalam keadaan lebih selesa dan kondusif, selain mengurangkan kesesakan dalam kelas di sekolah-sekolah berkepadatan tinggi.

“Sukacita dimaklumkan bahawa projek ini kini telah mencapai 99 peratus kemajuan fizikal. Penyerahan projek dijadualkan pada 21 April 2026, dan sekolah ini dijangka boleh mula beroperasi pada Jun 2026,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan kemajuan projek pembinaan sekolah baharu, dengan 42 bilik darjah dan kemudahan serba lengkap mengikut piawaian ditetapkan.

Projek bawah JKR itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2026, dengan nilai kontrak asal sebanyak RM55.885 juta.

Skop projek merangkumi pembinaan 42 bilik darjah bersama pelbagai kemudahan lain seperti bangunan pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), makmal, bengkel serta kemudahan sokongan yang berkaitan.