
SERIAN, 23 September – Kesemua 108 sekolah di daerah Serian akan ditutup sementara berkuat kuasa esok susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melepasi paras 201 iaitu sangat tidak sihat.
- JPN Sarawak umum PdPR dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pembelajaran murid diteruskan.
- Langkah selaras Surat Siaran Bilangan 1 Tahun 2019 tentang pengurusan sekolah semasa jerebu.
- Sistem APIMS merekodkan IPU Serian 217; satu-satunya kawasan pada tahap sangat tidak sihat, banyak stesen lain merekodkan bacaan tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara kesemua sekolah terlibat.
Langkah tersebut bagi memastikan proses pembelajaran murid diteruskan.
Menurut JPN, tindakan berkenaan selaras Surat Siaran Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan pengurusan sekolah ketika keadaan jerebu.
Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 10.23 malam ini, stesen IPD Serian merekodkan bacaan IPU 217, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan di negara ini yang berada pada tahap sangat tidak sihat.
Pada masa sama, sebanyak 13 stesen lagi merekodkan bacaan tidak sihat, dengan majoritinya melibatkan kawasan di Sarawak.
Antaranya Kuching, Samarahan, Sri Aman, Bintulu, Sibu, Samalaju, Sarikei, Miri, Mukah, ILP Miri, Limbang dan Kapit.
Di semenanjung tanah air pula, kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka.