Jemaah Menteri cadang lanjut penelitian laporan RCI Tabung Haji – TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Bernama

SEREMBAN, 29 Julai- Jemaah Menteri mencadangkan supaya tempoh penelitian laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) dilanjutkan bagi memastikan proses pemulihan institusi itu dinilai secara menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri bersetuju laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum dan mencadangkan sidang khas Parlimen untuk pembentangan.
  • Pelaksanaan syor RCI dijangka memperkukuh portfolio pelaburan, aliran tunai dan manfaat kepada pendeposit Tabung Haji.
  • Prestasi kewangan lebih kukuh dapat membantu mengimbangi peningkatan kos menunaikan haji seperti penerbangan, penginapan dan pengurusan.
  • Laporan RCI harus dijadikan panduan, tidak tempat menyalahkan atau dimanipulasi serta tidak dipolitikkan ketika kempen PRN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu penting bagi memastikan pelaksanaan syor-syor yang dikemukakan menerusi laporan RCI berkenaan dapat memberi kesan terhadap proses pemulihan Tabung Haji.

Beliau berkata Jemaah Menteri turut bersetuju supaya laporan RCI berkaitan Tabung Haji didedahkan kepada umum serta mencadangkan satu sidang khas Parlimen diadakan bagi pembentangan laporan berkenaan.

“Tadi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita telah bersetuju supaya laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Tabung Haji didedahkan kepada umum. Kami telah mencadangkan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan bagi pembentangan laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji ini.

“Kami juga mencadangkan supaya tempoh dapatan kajian ini dilanjutkan, bukan hanya sehingga tahun 2022, tetapi meliputi tempoh 2014 hingga 2022 dan 2022 sehingga pengurusan baharu Tabung Haji mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelaksanaan syor-syor RCI dijangka mampu memperkukuh portfolio pelaburan serta aliran tunai Tabung Haji, sekali gus meningkatkan manfaat kepada para pendeposit.

Menurutnya, prestasi kewangan yang lebih kukuh juga berupaya membantu mengimbangi peningkatan kos menunaikan ibadah haji yang dipengaruhi kenaikan kos penerbangan, penginapan dan pengurusan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan laporan RCI itu tidak seharusnya dijadikan medan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perlu dilihat sebagai panduan bagi memperkukuh pengurusan Tabung Haji pada masa hadapan.

Beliau turut berharap isu berkenaan tidak dipolitikkan atau dimanipulasi, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Beliau berkata segala spekulasi berkaitan isu itu akan terjawab apabila perkembangan politik berlaku kelak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.