
JELEBU, 29 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan peruntukan kepada masyarakat orang Asli tidak akan ditarik balik sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
- Pembatalan atau kelulusan peruntukan dibuat mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukan berdasarkan keputusan pilihan raya.
- Peruntukan diberikan di bawah kuasa Menteri Kewangan; yang memberi secara sah akan diteruskan tanpa masalah.
- Anthony Loke menyeru pilihan raya berasaskan fakta dan menolak ugutan serta maklumat mengelirukan terhadap pengundi Orang Asli.
Beliau berkata hal ini kerana ada pihak yang cuba menyebarkan dakwaan kononnya peruntukan kepada masyarakat orang asli akan dihentikan sekiranya calon tertentu tidak memenangi pilihan raya.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang kelulusan atau pembatalan peruntukan kerajaan dibuat mengikut undang-undang dan Perlembagaan, bukannya berdasarkan keputusan sesuatu pilihan raya atau kepentingan politik.
“Ada yang bagi tahu kat orang asli pula, kalau orang ini tidak menang… peruntukan tarik balik. Ini, yang bagi peruntukan itu (adalah saya).
“Peruntukan ini diberi mengikut undang-undang, Perlembagaan, Menteri Kewangan bagi. Yang buat elok-elok saya bagi, tidak ada masalah,” kata beliau berucap pada Majlis Minum Petang Bersama-Sama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Simpang Durian di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Sementara itu, Loke ketika ditemui pemberita berkata jaminan Perdana Menteri itu diharap dapat memberi keyakinan kepada masyarakat orang asli untuk membuat pilihan tanpa dipengaruhi sebarang ugutan atau maklumat yang mengelirukan.
Beliau berkata terdapat pihak yang didakwa menyebarkan propaganda sepanjang tempoh berkempen bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi orang asli berhubung isu peruntukan kerajaan.
“Kita harapkan supaya pertandingan dalam pilihan raya ini mesti berasaskan fakta, berasaskan kebenaran, tidak ada unsur ugutan dan tidak ada unsur untuk menakut-nakutkan… ini yang perlu kita pertahankan.
“… Kerana ini kempen yang saya jalankan selama dua minggu ini. Saya berterusan untuk menyampaikan mesej ini kepada masyarakat orang asli bahawa tidak ada sesiapa boleh mengugut mana-mana pihak, mana-mana pengundi,” katanya. -BERNAMA