fb fb fb fb fb

Isu kerenah birokrasi ditangani, pelaburan di Malaysia lebih mudah dan segera

Foto FB Perdana Menteri

RIYADH, 29 April- Kejayaan kerajaan menangani isu kerenah birokrasi merupakan faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pemimpin industri dan perniagaan antarabangsa, bahawa urusan pelaburan mereka di Malaysia akan lebih mudah dan segera.

Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar dalam pertemuannya dan delegadi Malaysia pada mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh.

Perdana Menteri memanfaatkan sesi Dialog Strategi Negara mengenai Malaysia itu untuk menyampaikan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.
 
Menurut beliau, sesi itu penting dalam meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.

Turut bersama pada sesi tersebut adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Antara syarikat yang menyertai sesi tersebut adalah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.

Datuk Seri Anwar turut menjelaskan, ramai pemimpin industri dan perniagaan memberi maklum balas positif untuk melabur di Malaysia kerana yakin terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara. 

Situasi itu sekali gus mengikut langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM