SELANGOR, 4 April- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua telah menawarkan kursus penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid bermula Februari tahun ini.
Ia bagi meningkatkan lagi daya saing golongan belia dalam sektor EV.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pengambilan pertama bagi kursus itu melibatkan 30 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berumur antara 18 hingga 30 tahun.
"Pada 2025, kita jangkakan sebanyak 200 orang pelajar sepenuh masa akan dilatih di IKTBN Dusun Tua, IKTBN Chembong dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dalam kursus EV.
"Manakala, 500 orang belia termasuk pekerja akan dilatih dalam kursus 'reskilling' EV melalui program 'Skills For Life' yang dilaksana di ketiga-tiga Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) tersebut," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ILKBS Sebagai Pelaksana Rintis Kursus EV dan Hibrid di IKTBN Dusun Tua, di sini.