
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Keputusan kerajaan mengekalkan Belanjawan 2027 berteraskan kerangka Malaysia MADANI disifatkan sebagai langkah tepat dengan memberi penekanan kepada tadbir urus dan nilai moral yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
- Belanjawan menekankan kecekapan perbelanjaan untuk manfaat ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- Penilaian kesejahteraan melangkaui KDNK untuk memastikan manfaat dinikmati secara kolektif.
- Memperkukuh daya tahan ekonomi negara menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik.
- Pengurangan defisit berperingkat, usaha menstabilkan ringgit, penyasaran subsidi dan pengurusan bantuan lebih berkesan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Shahsuzan Zakaria berkata, ia membolehkan kerajaan mengukur kecekapan perbelanjaan dan manfaat ekonomi supaya boleh dinikmati rakyat.
“Kita dapat mengukur kesejahteraan ekonomi ini melalui kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat dan pada masa yang sama menilai kecekapan perbelanjaan.
“Ia bukan hanya diukur kepada pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) semata-mata tetapi jauh lebih daripada itu untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara kolektif,” katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam pada itu, Dr Shahsuzan yakin Belanjawan 2027 mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang belum mencapai titik noktah.
Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan defisit secara berperingkat selain memastikan nilai ringgit berada pada tahap yang baik.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa pelbagai langkah berterusan telah dilaksanakan kerajaan termasuk penyasaran subsidi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
Selain itu, pendekatan pengurusan bantuan yang lebih berkesan serta usaha memperkukuh isu-isu berkaitan diyakini mampu memberikan manfaat lebih besar terhadap kesejahteraan rakyat.