
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara disaran mengamalkan diplomasi yang proaktif dengan meneroka lebih banyak peluang kerjasama strategik di negara penempatan masing-masing.
- Pejabat Perwakilan digesa mempergiat promosi produk, pelaburan dan potensi Malaysia di peringkat antarabangsa.
- Perbincangan tumpu memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan dagang strategik dan peranan diplomasi ekonomi menyokong agenda pembangunan negara.
- Kongsi visi pelaksanaan NETR dan aspirasi menjadikan Malaysia hab tenaga hijau unggul di rantau ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di Facebook menyatakan pejabat perwakilan juga perlu mempergiat usaha mempromosikan produk, pelaburan serta potensi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia dengan rakan-rakan dagang strategik serta membincangkan peranan diplomasi ekonomi dalam menyokong agenda pembangunan negara,” katanya yang menzahirkan perkara itu ketika menerima kunjungan enam Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia baharu di pejabatnya di Putrajaya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut berkongsi visi dan inisiatif kementerian khususnya pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga hijau yang unggul di rantau ASEAN.
Datuk Seri Fadillah turut mengucapkan tahniah dan berharap kesemua Ketua Perwakilan berkenaan dapat memikul amanah besar dengan cemerlang demi membawa pulang manfaat nyata kepada rakyat dan negara.
Kesemua mereka masing-masing, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Jamal Sharifuddin Johan, Duta Besar Malaysia ke Mexico Muhammad Radzi Jamaludin, Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Shahabudeen Adam Shah, Duta Besar Malaysia ke Maghribi Edi Irwan Mahmud dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan Aznifah Isnariah Abdul Ghani.