
SHAH ALAM, 24 Julai – Kerajaan Negeri Selangor terus memperhebat usaha untuk memperkukuh sektor pertanian dengan menggalakkan masyarakat memilih dan membeli hasil pengeluaran dalam negara.
- Pembelian buah tempatan meningkatkan permintaan, menambah pendapatan petani dan memperluas pasaran usahawan tani.
- Buah tempatan lebih berkhasiat dan segar serta membantu mengurangkan kebergantungan import buah negara.
- Pesta Buah-Buahan Selangor 2026 dianjur tiga hari dengan sasaran jualan RM250,000 melalui penyertaan usahawan tempatan.
- Kerajaan negeri memantau paras sungai dan empangan akibat cuaca panas dan risiko El Nino untuk memastikan bekalan air pertanian.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata langkah itu dapat meningkatkan permintaan terhadap buah-buahan tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan petani serta memperluaskan pasaran hasil usahawan tani tempatan.
“Galakan ini bukan hanya disebabkan buah-buah tempatan berkhasiat dan segar tetapi mengurangkan kebergantungan import yang ketika ini import buah negara mencecah RM7.5 bilion.
“Antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah menggantikan bakul buah dengan buah-buahan tempatan,” katanya.
Mengulas mengenai cuaca panas dan risiko fenomena El Nino beliau berkata kerajaan negeri turut memantau paras air sungai dan empangan bagi memastikan bekalan air untuk sektor pertanian kekal mencukupi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Selangor 2026 di sini.
Pesta tahunan itu berlangsung selama tiga hari hingga 26 Julai dengan sasaran nilai jualan RM250,000 menerusi penyertaan usahawan tempatan.