
PETALING JAYA, 24 Julai – Jelajah Angkatan Muda Keadilan (AMK) Generasi Z (Gen Z) bakal ke seluruh negara sebagai usaha berterusan mendekati serta menghimpunkan golongan muda yang berminat menyertai arus perjuangan reformasi.
- Program memperkenalkan parti kepada lebih ramai generasi muda dan membuka ruang kepada mereka untuk menyertai perjuangan.
- Sebanyak 3,075 anggota baharu menyertai parti hari ini, majoritinya terdiri daripada golongan muda AMK.
- Program dilaksanakan secara berkala sebagai proses berterusan mendekati golongan muda dan bukan berkaitan PRN atau PRU.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil memberitahu program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni generasi pelapis, malah menyerlahkan keterbukaan penerimaan parti kepada golongan sasar.
“Program menjadi titik tolak kepada usaha memperkenalkan parti kepada lebih ramai anak muda serta membuka ruang kepada mereka yang ingin bersama dalam perjuangan tersebut.
“Ini merupakan satu program yang sangat memberangsangkan dan memberi keyakinan baharu untuk terus menyantuni generasi Gen Z.
“Selepas ini akan diadakan Jelajah AMK Gen Z di seluruh negara bagi mengumpulkan kekuatan baharu anak-anak muda yang berminat,” katanya selepas program Generasi Muda Suara Baharu.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Fahmi memaklumkan, seramai 3,075 anggota baharu menyertai parti itu hari ini dengan majoritinya terdiri golongan muda dalam AMK.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, program sedia dilaksanakan secara berkala dari semasa ke semasa, namun jumlah penyertaan yang besar pada satu-satu program menjadikannya sesuatu luar biasa.
“Inisiatif berkenaan tidak berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU), sebaliknya merupakan proses berterusan mendekati golongan muda,”jelasnya.