Kepimpinan politik mesti satukan rakyat, bukan cetus perpecahan

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PETALING JAYA, 24 Julai – Kepimpinan politik seharusnya diterajui golongan yang mampu menghimpunkan pelbagai kekuatan dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, bukannya mencetuskan perpecahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pilih pemimpin berwibawa, bebas rasuah dan tidak menyemai kebencian demi kepentingan negara.
  • Tamatkan politik berasaskan ketakutan, sentimen perkauman dan kebencian; pupuk perpaduan antara kaum.
  • Laksanakan reformasi secara bijaksana dan terancang sekarang, tingkatkan penglibatan serta iltizam Generasi Z.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan pemimpin berwibawa dilihat sebagai tunjang yang memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju serta pelaksanaan dasar ekonomi dan pendidikan negara.

“Saya percaya kalau Generasi Z bawa mesej ini, ia akan bawa perubahan. Amalan politik lama yang berasaskan ketakutan, sentimen perkauman dan kebencian perlu ditamatkan.

“Kita tidak seharusnya menyemai rasa takut dalam kalangan orang Melayu terhadap Cina, Cina terhadap India, mahupun India terhadap masyarakat Dayak.

“Sebaliknya, kita perlu memupuk semangat dan keazaman bersama-sama menentang rasuah serta perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Generasi Muda Suara Baharu di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar pemimpin mesti dipilih daripada individu yang bebas daripada rasuah, tidak menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat, serta berkeupayaan mentadbir dengan baik demi kepentingan negara.

“Kita membawa perubahan dan reformasi. Jika mahu bercakap mengenai reformasi, ia perlu dilakukan ketika mempunyai kuasa, bukan hanya selepas kehilangan kuasa. Sebarang perubahan perlu dilaksanakan sekarang.

“Namun, perubahan mesti dilakukan secara bijaksana dan terancang bagi memastikan kejayaannya. Jangan hanya bertindak berdasarkan semangat semata-mata, melaungkan pelbagai perkara, tetapi akhirnya tidak mampu membawa perubahan sebenar,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa bangga dan gembira melihat kerjasama erat antara kaum, khususnya dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Saya juga melihat generasi muda, khususnya Generasi Z yang tampil dengan pemikiran baharu dan iltizam yang kukuh untuk menjayakan agenda reformasi,” katanya.

Program Generasi Muda Suara Baharu akan dianjurkan di setiap daerah seluruh negara sebagai wadah memperkasa penglibatan generasi muda dalam agenda perubahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.