
ALOR GAJAH, 24 Julai – Populasi harimau Malaya menunjukkan peningkatan hasil penguatkuasaan berterusan serta tindakan tegas membanteras pemburuan haram menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) sejak tahun 2019.
- Pelaksanaan sembilan tindakan strategik konservasi (2021–2030) menumpu hentikan kemerosotan, perkukuh tadbir urus dan pastikan kelangsungan hidup harimau Malaya.
- BP3 kini meliputi kira-kira 60 peratus habitat utama Semenanjung, melibatkan hampir 20,000 kilometer persegi untuk rondaan dan pemantauan.
- Operasi bersepadu rekod 3,684 rondaan, 56 tangkapan, pemusnahan 29 jerat dan sitaan bernilai anggaran RM4.2 juta.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, dapatan itu berdasarkan pemantauan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan angka rasmi dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, perkembangan tersebut turut didorong pelaksanaan sembilan tindakan strategik konservasi harimau Malaya bagi tempoh 2021 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada usaha menghentikan kemerosotan populasi, memperkukuh tadbir urus konservasi serta memastikan kelangsungan hidup spesies berkenaan.
“Daripada usaha itu, kita melihat jumlah tangkapan dan sitaan semakin meningkat, sekali gus membantu membendung kegiatan haram. Operasi turut dilaksanakan bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan dan renjer berkaitan.
“Sekiranya kes dikesan, tindakan akan diambil secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 di sini hari ini.
Setakat bulan ini, BP3 meliputi kira-kira 60 peratus habitat utama hidupan liar di Semenanjung Malaysia membabitkan kawasan seluas hampir 20,000 kilometer persegi.
Tujuh siri Operasi Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan tahun ini berjaya mengesan dan memusnahkan 29 jerat, menemukan 47 khemah serta mengesan tujuh kes penebangan dan takikan pokok karas.
Operasi itu turut merekodkan 185 kesan aktiviti pemburuan haram dan 151 kesan aktiviti manusia di kawasan operasi.
“Sebanyak 3,684 operasi rondaan meliputi jarak lebih 99,000 kilometer dilaksanakan sepanjang tempoh itu, dengan 56 kes tangkapan direkodkan dan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM4.2 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, kementeriannya menyasarkan pelantikan 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara, termasuk 1,950 di bawah seliaan PERHILITAN bagi memperkukuh rondaan dan pemantauan habitat hidupan liar.
Ujarnya, usaha itu penting memandangkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama bagi tempoh 2016 hingga 2020 menganggarkan populasi harimau Malaya di negara ini kurang daripada 150 ekor.