
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai di tapak lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam dijangka menjadi penyelesaian kepada isu kepadatan murid di beberapa sekolah sekitar Lembah Pantai.
- Sekolah baharu akan menyediakan sekurang-kurangnya 36 bilik darjah untuk menampung keperluan pendidikan setempat.
- Kerja perobohan dijangka bermula dalam beberapa bulan sebelum pembinaan dilaksanakan.
- Beberapa sekolah sedia ada beroperasi sangat padat, mendorong usaha tingkatkan kapasiti dan kemudahan pembelajaran kondusif.
Sekolah baharu itu bakal menyediakan sekurang-kurangnya 36 bilik darjah bagi menampung pertambahan keperluan pendidikan di kawasan berkenaan.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerja-kerja perobohan tapak dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan sebelum pembinaan sekolah itu dilaksanakan.
“Perancangan pembinaan sedang diteliti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Kita juga mengambil kira unjuran pertambahan penduduk susulan pembangunan kawasan perumahan baharu di sekitar Lembah Pantai.
“Ketika ini, SK Bangsar, SK Bukit Bandaraya dan SK Bukit Pantai beroperasi dalam keadaan sangat padat. SK Bangsar sahaja mempunyai lebih 1,800 murid. Sebab itu, kita mahu memastikan SK Seri Pantai dibina dengan kemudahan yang mampu menyediakan suasana pembelajaran lebih selesa kepada murid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Blok C Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, Bangsar yang siap dibina semula di sini, hari ini.
Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti sekolah dan menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif kepada murid di Lembah Pantai.