SK Bukit Pantai terima blok baharu ganti bangunan rosak akibat anai-anai

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyempurnakan majlis penyerahan kunci Blok C SK Bukit Pantai hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Blok C Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, Bangsar yang dibina semula selepas mengalami kerosakan akibat serangan anai-anai kini siap sepenuhnya dan sedia digunakan oleh murid.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam daripada lapan bilik darjah akan menempatkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang sebelum ini terpaksa berpindah-randah.
  • Projek tertangguh beberapa tahun akibat pandemik COVID-19 tetapi berjaya disiapkan mengikut jadual; penambahbaikan ruang riadah antara blok akan diteliti.
  • Fahmi mengucapkan terima kasih kepada kontraktor JKR atas mutu kerja memuaskan; pembinaan semula memulihkan kemudahan pembelajaran dan keselamatan murid.

Enam daripada lapan bilik darjah di blok berkenaan akan menempatkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua yang sebelum ini terpaksa berpindah-randah kelas sepanjang kerja pembinaan semula dijalankan.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, projek yang tertangguh beberapa tahun akibat pandemik COVID-19 itu akhirnya berjaya disiapkan mengikut jadual.

“Kita akan meneliti beberapa cadangan penambahbaikan, termasuk memanfaatkan ruang di antara dua blok ini sebagai kawasan riadah dan permainan. Memandangkan blok ini menempatkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua, mereka memerlukan ruang yang lebih selesa untuk bermain ketika waktu rehat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Blok C SK Bukit Pantai, Bangsar di sini, hari ini.

Datuk Seri Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana berjaya menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual dengan mutu kerja yang memuaskan.

Katanya, pembinaan semula blok itu bukan sahaja mengembalikan kemudahan pembelajaran kepada warga sekolah, malah mencerminkan komitmen berterusan untuk menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih selamat dan kondusif kepada murid.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.