Lelaki warga Indonesia rogol anak kandung, dipenjara 60 tahun

Tertuduh (ditengah berbaju tshirt hitam) merogol anak kandungnya sebanyak enam kali sehingga melahirkan seorang bayi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Seorang lelaki warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara 60 tahun serta 60 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan merogol anak kandungnya sehingga melahirkan seorang bayi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakim menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap satu daripada enam pertuduhan.
  • Mangsa dirogol enam kali sehingga melahirkan seorang bayi perempuan; ujian DNA mengesahkan tertuduh bapa kandung.
  • Mangsa mengalami kemurungan teruk, mempunyai niat bunuh diri akibat trauma, dan tertuduh pernah hadapi dakwaan mencabul sebelum ini.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap lelaki berusia 56 tahun itu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya yang kini berusia 19 tahun di sebuah unit kondominium di Taman Midah, di sini antara 2 Oktober 2021 hingga 30 Jun lepas.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dirogol sebanyak enam kali oleh bapanya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan.

Laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut mengesahkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan memohon hukuman berat dikenakan memandangkan tertuduh adalah bapa kandung yang sepatutnya melindungi mangsa.

Mahkamah turut dimaklumkan mangsa mengalami kemurungan melampau dan pernah mempunyai niat untuk membunuh diri akibat trauma yang berulang kali, namun terpaksa memikirkan anaknya yang kini berusia empat tahun.

Selain itu, tertuduh sebelum ini pernah berhadapan dengan dakwaan mencabul anak kepada mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan telah menetap di negara ini selama 43 tahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.