
PORT DICKSON, 24 Julai – Malaysia akan terus mempertahankan haknya sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat dalam menentukan dasar luar tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
- Dasar Malaysia tentang Palestin berasaskan prinsip kemanusiaan, keadilan dan kedaulatan negara.
- Malaysia akan mengekalkan hubungan baik dan perdagangan dengan semua negara termasuk AS tanpa berkompromi pada prinsip.
- Hubungan dengan kuasa besar diteruskan berdasarkan kepentingan negara tanpa mengorbankan prinsip dan maruah; keamanan dicapai oleh pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia termasuk dalam isu Palestin dibuat berasaskan prinsip kemanusiaan, keadilan dan kedaulatan negara.
Pada masa sama jelas beliau, Malaysia mahu mengekalkan hubungan baik serta perdagangan dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun katanya hubungan tersebut tidak bermakna negara perlu berkompromi dalam perkara yang melibatkan soal prinsip.
“Kita bebas memutuskan dasar kita sendiri. Ada sebahagian mengatakan saya menjaga AS.
“Saya nak jelaskan bahawa saya tidak bersifat selektif. Presiden AS, Donald Trump datang ke Malaysia, kita sambut. Dagangan kita dengan AS masih lagi nombor satu. Kita tidak bermusuh,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus menjalinkan hubungan dengan kuasa-kuasa besar berdasarkan kepentingan negara tanpa mengorbankan prinsip dan maruah.
“Keamanan dinikmati negara hari ini tidak boleh dicapai tanpa pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Malaysia,” ujar beliau.