Piala Hyundai ASEAN 2026: Harimau Malaya sedia baham Myanmar

Cheng Hoe (kiri) yakin Harimau Malaya mampu tewaskan Myanmar. Foto/FB FAM

YANGON, 24 Julai– Skuad Harimau Malaya bertekad memulakan kempen Piala Hyundai ASEAN 2026 dengan kemenangan apabila dijadual berdepan Myanmar dalam aksi sulung Kumpulan B di Stadium Thuwunna di sini pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cheng Hoe tekankan disiplin dan fokus 90 minit, elak hilang bola kerana Myanmar kuat serangan balas pantas.
  • Kemenangan perlawanan pembukaan penting untuk membina keyakinan menghadapi baki saingan peringkat kumpulan.
  • Gabungan pemain senior, muda dan tonggak warisan dengan keserasian latihan beri petanda positif dan daya saing pasukan.

Ketua Jurulatih Interim, Tan Cheng Hoe berkata, meskipun tempoh persiapan pasukan agak singkat, beliau yakin anak buahnya mampu mempamerkan aksi terbaik bagi memburu tiga mata pertama.

Pengendali kelahiran Kedah itu menjelaskan, aspek disiplin dan fokus sepanjang 90 minit permainan menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan Myanmar yang terkenal dengan corak serangan balas pantas.

“Sudah tentu kami perlu memberi tumpuan kepada corak permainan kami sendiri. Kami tidak boleh terlalu kerap kehilangan bola kerana kami tahu kekuatan Myanmar adalah menerusi serangan balas yang pantas. Jadi, kami perlu membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapi Myanmar,” Katanya.

Tambah Cheng Hoe, kemenangan dalam perlawanan pembukaan amat penting bagi memberikan keyakinan kepada pasukan untuk mengharungi baki saingan peringkat kumpulan.

Jurulatih berusia 58 tahun berkenaan turut optimis gabungan pemain senior, pemain muda serta tonggak berdarah warisan mampu membentuk sebuah pasukan yang kompetitif sepanjang kempen kali ini.

Tambah beliau, keserasian yang semakin baik dalam kalangan pemain sepanjang kem latihan memberi petanda positif menjelang aksi menentang Myanmar, sekali gus meningkatkan keyakinan beliau terhadap kemampuan Harimau Malaya untuk memulakan kempen dengan keputusan memberangsangkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.